Saudara-saudari, teman seagama… Zikir adalah pengucapan. Zikir adalah ingatan. Zikir ertinya tidak pernah melupakan. Andai zikir selalu dialunkan, bermakna jiwanya menikmati kehidupan.
Kehidupan ini bukanlah suatu dongengan. Kehidupan ini adalah satu kenyataan. Dunia ini perjalanan bagi para pengembara yang meneruskan langkah-langkah pengembaraannya. Di dunia ini, kita terus meneruskan episod kehidupan kita. Bermula dengan kelahiran yang diiringi tangisan, kita terus mengembara di bumi asing ini. Terlalu asing. Tangisan itulah tandanya. Tangisan itulah alamatnya. Namun tangisan itu kian beransur reda apabila kita mula mengenali kehidupan kita. Pahit, manis, tawar, payau antara rasa-rasa yang mengiringinya. Hitam, putih, kelabu, ungu malah berbelang-belang adalah antara warna-warna yang mencorakkannya. Dan kita? Langkah-langkah terus disusun teratur, agar tidak tersesat di bumi allah yang menjadi pentas mengumpul bekalan untuk meneruskan perjalan.
Ingatlah janjimu yang dimetrai dengan Rabbmu suatu ketika dulu. Tatkala dirimu mengaku bahawa Allah yang Esa adalah Tuhanmu. Jangan terlalai, jangan terleka. Dunia ini besar pancarobanya. Dugaan hebat, godaannya kuat. Jika tiada pegangan yang kukuh, nescaya janjimu akan tergugat.
Fikirkan amalanmu sebelum meneruskan kembaramu menuju ke destinasi seterusnya.. fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment